Monday, November 16, 2009

HARI KELUARGA ASRAMA



Hari Keluarga Asrama telah diadakan pada 14 hingga 15 November lalu. pelbagai acara telah diadakan. Pihak QG juga telah berkesempatan untuk bergambar kenang-kenangan bersama-sama cikgu Abdul Wahab di Pantai Balik Batu, Tanjung Bidara. Semoga kenangan ini akan tetap tersemat di hati cikgu. Syukran.

MAJLIS KHATAM PERSATUAN SENI SILAT SENDENG MALAYSIA





Di bawah kelolaan Ustaz Mohd Jeffery Al Hafiz, Persatuan Seni Silat Sendeng ini telah berjaya hingga ke penamatnya pada hari ini. Satu majlis yang gilang gemilang telah diadakan. terdapat juga beberapa ahli QG yang telah turut serta dalam majlis ini. Antaranya ialah Muhammad Fikri Fainul Hisham, Muhammad Faridzuan Yunus, Nazirul Syahmi Azme dan Aiman Jafni Abd Razak. Semoga kekuatan mereka akan digunakan pada tempat yang betul. Amin.

MAJLIS KHATAM AL QURAN








Pada hari ini, sejarah berulang kembali, seramai 6 orang warga QG telahpun selamat menghafal 30 juzuk Al Quran. Antara mereka adalah Muhammad Alif Aziz, Muhammad Syafiq Azman, Muhammad Hafizuddin Daud, Muhammad Firdaus Salam, Muhammad Aminul Ariffin dan Umar Hamzah Suaibunaha. Mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam penghafalan Al Quran. Inilah satu perkara gembira yang telah ditunjukkan oleh ahli QG sebelum cikgu Abdul Wahab pergi meninggal sekolah ini. Semoga semangat dan daya juang mereka akan menjadi pedoman kepada ahli-ahli yang lain. Semoga Allah menjadikan mereka sebagai pejuang Islam yang tulen. Allahu Akbar.

Friday, November 13, 2009

MAJLIS PENGKISAHAN SEMULA

Pada hari khamis yang akan datang ini, iaitu pada 19 November 2009, suatu majlis pengkisahan semula akan diadakan di dewan sekolah SMTAQ. Pada majlis tersebut, satu tayangan video berkenaan kisah QG sejak dari tingkatan 1 (tahun 2006) hingga tingkatan 4 (2009) akan diadakan. diharapkan semua ahli QG tidak menguzurkan diri menghadiri majlis tersebut.

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG PEJUANG


Cikgu Abdul Wahab Abu Samah, guru penasihat QG akan meninggalkan sekolah ini (SMTAQ) dan kita semua pada 20 November ini. Beliau akan melaporkan diri ke sekolah barunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, Alor Setar, Kedah pada 1 Disember ini. Semoga pejuangan beliau dalam membentuk anak didik khususnya QG akan sentiasa dikenang. Walaupun beliau akan berpindah ke sekolah baharu, namum beliau berjanji akan menerajui QG sehingga semua matlamat dan objektifnya tercapai.

Friday, November 6, 2009

PARA HUFFAZ BERGAMBAR KENANGAN




Para huffaz yang terdiri daripada 6 orang ahli QG dan seorang pelajar tingkatan 5 telah bergambar kenang-kenangan sebelum mereka diiktiraf sebagai al hafiz minggu hadapan. Mereka yang akan menerima anugerah dalam program yang gilang-gemilang ini ialah Muhammad Firdaus Salam, Muhammad Alif Aziz, Muhammad Syafiq Azman, Umar Hamzah Suaibunaha, Aminul Ariffin Amin dan Muhammad Hafizuddin Daud. Tahniah diucapkan kepada mereka.

GURU-GURU QG MENGHADIRI KURSUS







Guru-guru yang mengajar tingkatan 4 (Quranic Generation) pada petang semalam telah menghadiri kursus dalaman (LDP). Kelihatan juga, Cikgu Sahrossam menyampaikan ceramah yang bertajuk pengurusan disiplin. Sebagaimana aktifnya guru-guru kami ketika berada di dalam kelas, begitu jugalah aktifnya mereka ketika menghadiri kursus tersebut. Tahniah!

Wednesday, November 4, 2009

CIKGU ADRINE, USTAZAH LAILA DAN CIKGU ZALIZAH DALAM KENANGAN




6 bulan yang lalu guru-guru ini masih bersama-sama kita di sekolah ini. Kini, hanya ingatan suara yang lemak merdu sahaja yang masih lagi tinggal dalam ingatan. Perpindahan guru tersebut ke sekolah yang baharu merupakan satu kehilangan yang sukar dicari ganti. Hanya tawa riang, dan usikan mesra mereka menjadi ingatan sepanjang masa. Terima kasih cikgu!!

Tuesday, November 3, 2009

LATIHAN SEPAK TAKRAW QG











Petang ini, dalam remang-remang lindungan awan mendung, sebilangan pelajar sedang asyik berlatih permainan sepak takraw atas bimbingan USTAZ MOHD NIDZAM OMAR AL HAFIZ. Sebagaimana yang selalu diingatkan, QG bukan sahaja perlu unggul dalam bidang akademik bahkan dalam bidang sukan dan aktiviti luar juga perlu diungguli. Keseimbangan semua unsur dalam pendidikan seharusnya menjadi keutamaan warga QG sebagaimana yang telah digariskan dalam objektif penubuhan QG sendiri. warga QG yang sedang menjalani latihan tersebut ialah Saudara Mohd Hairi, Saudara Yusuf Ahyead, Saudara Nizamudin dan Saudara Faridzuan Haris.

WARGA QG TENANG MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR
















Ketika kisah ini ditulis, pelajar warga QG sekalian sedang menghadapi peperiksaan mata pelajaran Sains kertas 2. Pelajar diperhatikan sentiasa mengamalkan amalan bersungguh-sungguh ketika menjawab kertas tersebut. Sebagaimana yang telah diingatkan kepada pelajar warga QG, mereka seharusnya menjadikan peperiksaan akhir tahun ini sebagai satu wahana menilai sejauh mana penguasaan mereka dalam pelajaran. Cikgu Abdul Wahab selalu mengingatkan bahawa, mereka perlu membuat penambahbaikan sekiranya terdapat bahagian yang lemah dan mengekalkan sebarang kekuatan dalam peperiksaan tersebut. Sebelum menjawab pada pagi tadi juga pelajar telah diingatkan tentang keperluan mata pelajaran sains yang kini menjadi salah satu syarat kemasukan ke Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebagaimana keperluan kepujian mata pelajaran Matematik Tambahan, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan mana-mana 2 mata pelajaran lain iaitu Prinsip Perakaunan dan Sains. Diharapkan dengan menduduki peperiksaan akhir tahun ini, pelajar dapat menguji diri sendiri.

BARISAN HUFFAZ QG











Kita bukan hanya mampu mengira pencapaian 72% dalam PMR tahun 2008, tetapi juga kita bisa tersenyum dengan bilangan Al-Hafiz seramai 4 orang. Bilangan ini dijangka akan bertambah menjadi 7 orang sebelum berakhir tahun ini dan 20 orang pada tahun hadapan. Warga QG sentiasa berharap, dengan adanya bilangan huffaz ini kegemilangan kita akan sentiasa menjadi sejarah dalam perjalanan sebuah institusi bernama Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran Chenderah.

Sunday, November 1, 2009

MENGIMBAU PERLAWANAN PERSAHABATAN


Setahun sudah berlalu perlawanan persahabatan antara QG dan pelajar SMK Tun Perak. Perlawanan tersebut diadakan sebagai salah satu aktiviti selepas PMR 2008. Perlawanan tersebut telah diadakan di padang SMK Tun Perak. Diharapkan kita bukan sahaja dapat berlawan di Padang tetapi juga dalam bidang pelajaran. Semangat ingin bersaing ini perlu demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang. Selain itu, diharapkan pelajar antara kedua-dua buah sekolah ini akan dapat berkenalan dan saling membantu dalam bidang-bidang yang lain.

KEPULANGAN USTAZ RABEH KE MESIR


Walaupun terasa sudah setahun lamanya USTAZ RABEH NEKMATULLAH AL SAYED pulang ke Mesir meninggalkan kita, suaranya yang garau mengajar Bahasa Arab setiap malam Selasa dan Khamis masih terngiang-ngiang di telinga. Ustaz Rabeh telah banyak membantu warga QG dalam menghadapi peperiksaan PMR 2008 yang lalu untuk mata pelajaran Bahasa Arab Komunikasi. Alangkah bertuahnya kita warga QG selama ini yang dapat bertutur dalam bahasa arab dengan orang Arab sendiri. Gambar menunjukkan Penasihat QG Cikgu Abdul Wahab bersama-sama dengan Cikgu Sahrossam, Cikgu Mohd Irwan dan beberapa orang bekas pelajar sedang bergambar kali terakhir bersama Ustaz Rabeh di KLIA Sepang. Kami warga QG bercita-cita untuk mengadakan satu program ke Mesir bagi melawat Ustaz Rabeh suatu hari nanti.

SEORANG LAGI WARGA QG KHATAM

Saudara Muhammad Firdaus bin Salam dari tingkatan 4A telah berjaya menamatkan hafazan Al-Quran sebanyak 30 juzuk pada 23 oktober 2009. Beliau telah dilahirkan di Kampung Bukit Katil pada 21 Februari 1993 mempunyai 11 orang adik-beradik. Beliau yang bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Al-Quran di Darul Quran telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR pada tahun 2008 yang lalu. Menurut Ustaz Abdul Wahid Kasim, saudara Muhammad Firdaus juga merupakan seorang pelajar yang sentiasa istiqamah dalam proses penghafalan Al-Qurannya. Semoga kejayaan yang dicatat oleh pelajar ini akan menjadi contoh kepada pelajar yang lain dalam mencapai apa jua yang dicita-citakan. Majlis Tertinggi QG akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan tentang majlis meraikan salah seorang ahli QG yang kini bergelar 'al-hafiz' ini.

MESYUARAT MINGGUAN MAJLIS TERTINGGI QG


Bertempat di Kelas Tingkatan 4A pada 30 Oktober 2009, satu mesyuarat mingguan Majlis Tertinggi QG telah diadakan. Mesyuarat rutin mingguan tersebut telah dihadiri oleh semua ahli Majlis kecuali Saudara Aiman Jafni Razak, presiden QG yang tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kesihatan. Antara perkara berbangkit yang diajukan dalam mesyuarat tersebut adalah berkenaan program Guru Muda yang masih lagi kurang impaknya kepada ahli QG. Selain itu, semua ahli Majlis diingatkan supaya sentiasa menasihati warga QG supaya mementingkan SOLAT BERJEMAAH. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Cikgu Abdul Wahab yang juga merupakan penasihat QG. Selain itu, perbincangan secara serius telah dibuat untuk mengadakan Jamuan Akhir Tahun bagi QG dan asrama putera SMTAQ. Dalam mesyuarat kali ini, satu ketetapan telah dibuat iaitu kajian berkenaan prestasi mata pelajaran peperiksaan akhir tahun 2009 akan dilaksanakan secara individu. semua warga QG dikehendaki menyediakan satu laporan berbentuk laporan individu bagi setiap mata pelajaran. Mereka dikehendaki menilai kelemahan dan kekuatan yang mereka jangka terhadap peperiksaan akhir tersebut. Sesungguhnya, kelemahan harus dibaiki manakala kekuatan harus dikekalkan, itulah pesanan yang telah disampaikan oleh Cikgu Abdul Wahab.

Ayat-Ayat Al-Quran

Warga Quranic Generation 93

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Temui kami di Facebook